KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memandang serius dua klip video yang tular di media sosial sejak kelmarin mengenai insiden pertengkaran di lebuh raya membabitkan seorang individu dalam video itu mendakwa dirinya dari kementerian itu.
KDN dalam satu kenyataan berkata, kementerian berkenaan sudah mengenal pasti individu terbabit dan mendapati beliau adalah Ahli Kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dilantik pada Februari 2015.
“Siasatan mendapati beliau digantung dari jawatan itu dan disiasat kerana kesalahan salah guna kuasa pada Mei 2017.
“Sehubungan itu, KDN memohon agar pihak terbabit untuk tampil membuat laporan polis supaya tindakan selanjutnya untuk menyiasat individu berkenaan boleh dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Menurut kenyataan itu, KDN sudah memanjangkan klip video berkenaan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
“KDN ingin mengingatkan warga KDN atau mana-mana individu agar tidak menyalahgunakan nama KDN untuk kepentingan sendiri,” katanya.
Video penuh di akhir posting ini :
Sejak kelmarin, tular di media sosial dua video dirakam dari dalam kereta mendakwa dihalang kenderaan di depan sambil dihimpit kenderaan pelbagai guna (MPV) di sebelah kiri di lebuh raya.
Dalam klip video pertama sepanjang 1 minit 20 saat, pemandu kereta terbabit mendakwa menghubungi polis memaklumkan kenderaannya dihalang dari depan dan tepi.
Malah, pemandu MPV di sebelah kirinya turut menyuruhnya berhenti sambil mengeluarkan perkataan tidak senonoh dan memaki hamun pemandu kereta terbabit.
Manakala klip video kedua pula sepanjang 1 minit 7 saat, menyaksikan pemandu kereta itu sudah berhenti di tepi jalan sebelum dihampiri pemandu MPV terbabit, yang kemudiannya mendakwa dirinya dari KDN.
Berlaku pertikaman lidah sebelum kedua-duanya mahu menyelesaikan perkara itu di balai polis.
Jawapan Rasmi KDN