BATU PAHAT, JOHOR – Viral video rakaman dashcam sebuah kereta Perodua Kenari kemalangan selepas keretanya hampir bertembung dengan sebuah kereta yang memotong secara berbahaya.
Video yang dimuat naik oleh Nojahwati Sohaini di laman Facebooknya berkata, adiknya, Daus, menghadapi kemalangan, namun selamat.
“Mujur adik saya selamat semalam. Kepada kereta (BMW hitam) berkenaan, awak sangat biadab! Awak buat adik saya seinci dengan kematian.
“Saya nak viralkan apa yang awak dah buat. Moga kalau awak nampak tadi, awak sedar. Mana undang-undang yang awak pakai? Tak guna dapat lesen kalau camni cara pemanduan awak,” katanya.
Berdasarkan video berdurasi satu minit yang berlaku pada jam 3.59 petang Sabtu di Jalan Bandar Tenggara – Ulu Penggeli, Daus yang memandu kereta Perodua Kenari dalam perjalanan ke destinasi.
Secara tiba-tiba sebuah kereta BMW berwarna hitam yang tidak dapat dilihat dengan jelas nombor pendaftarannya itu cuba memotong lori di hadapannya, menyebabkan Daus terpaksa mengelak ke kiri sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi di bahagian kanan jalan.
Dalam masa yang sama, sebuah penunggang motosikal juga terpaksa brek dan sempat mengelak kereta mangsa yang termasuk ke laluannya itu.
Menurut Nojahwati, jika tiada penghadang besi itu, kereta yang dipandu oleh adiknya bersama dengan rakannya itu mungkin terjunam ke dalam gaung.
Sehingga kini, pemandu berkenaan masih bebas dan belum dapat dikesan. Netizen mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemandu berkenaan.
Sumber: The Reporter