Baru-baru ini viral apabila sebuah pelamin dihias dengan sangat cantik dari permukaan siling hingga ke lantai walaupun dibuat di rumah kayu sahaja. Beberapa gambar yang dikongsi sangat mengejutkan netizen, malah ada yang tidak percaya adakah pelamin berkenaan dipasang di rumah berkenaan.
Difahamkan pelamin berkenaan dipasang di salah sebuah ruang tamu rumah di Kampung Chepir, Sik Kedah yang diviralkan di laman sosial Facebook.
Apa yang menarik lagi adalah pelamin yang dirasakan sentuhan seorang wanita rupa-rupanya merupakan gubahan seorang lelaki sado! Eddy, atau nama sebenarnya Ahmad Rasidi Md Idris merupakan seorang ‘wedding planner’ luar bandar yang mampu merealisasikan impian pengantin untuk mendapatkan pelamin mewah ketika hari bahagia mereka.
Ketika dihubungi pihak mStar, Eddy memberitahu bahawa dia akan mencantikkan tempat persandingan pengantin demi kepuasan pengantin itu sendiri.
“Majlis ‘depa’ (mereka) kan sekali seumur hidup, saya cuba cantikkan pelamin walaupun bajet sederhana. Lagipun saya ‘wedding planner’ kampung saja.”
Tambah Eddy lagi, menghias pelamin di rumah kampung sebenarnya lebih mencabar berbanding di bandar.
“Paling penting kena tutup semua bahagian di atas, bawah, kiri dan kanan. Untuk tutup siling dan dinding saya gunakan kain ‘jersi’ dan untuk lantai saya hamparkan permaidani.Memang agak mencabar berbanding buat pelamin di dewan atau hotel, tapi bila tuan rumah suka dengan sentuhan saya, itulah kepuasan saya,”
Graduan Universiti Sains Malaysia ini yang pernah berkhidmat dengan perancang perkahwinan terkenla, Nas Great Idea memberitahu bahawa dia akan melawat rumah pengantin bersama tiga rakannya sehari sebelum majlis berlangsung. Tempoh masa untuk memasang pelamin biasanya hanya mengambil masa kurang dari tiga jam sahaja.
Difahamkan dia hanya meletakkan harga RM1,800 untuk jenis pelamin yang diviralkan baru-baru ini.
Di akhir temubual, Eddy memberitahu bahawa sejak hiasan pelaminnya tular di Facebook, ramai individu mula menghubunginya untuk bertanyakan lanjut tentang pakej perkahwinan yang ditawarnya.
“Ada dari P.Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang dan banyak lagi. Disebabkan kita menjaga kualiti, banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum bersetuju dengan tempahan,”katanya mengakhiri temubual bersama pihak mStar.