KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung rakaman video yang tular menunjukkan tujuh anggota polis termasuk seorang ketua balai di Johor, berhibur di kelab hiburan, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau sedang menunggu laporan penuh daripada Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader mengenai rakaman video yang tular di media sosial itu.
“Siasatan telus akan dilakukan tanpa melindungi mana-mana anggota polis sekiranya terbukti mereka terlibat dengan salah laku dan integriti,” katanya ketika dihubungi Bernama News Channel di sini malam ini.
Mohamad Fuzi berkata, beliau turut mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman untuk menyiasat dan meneliti kesahihan perkara berkenaan.
Petang tadi, video berdurasi lapan saat itu mula tular selepas dimuat naik seorang pemilik akaun facebook, Jia Xing Chen dengan tajuk “anggota polis berhibur di kelab malam bersama tokey judi”.
Difahamkan, tujuh anggota itu berpangkat Lans Korperal Bahagian D7 (kongsi gelap, judi dan maksiat) manakala seorang daripadanya ketua balai polis di salah sebuah daerah di Johor. – Bernama
Sumber – Kosmo